Wednesday, February 1, 2012

Tiga Kali Seminggu


Assalamulaikum dan hye!

Baru lepas habis baca buku Tiga Kali Seminggu (TKS), karya sepenuhnya Faisal Tehrani. Kompilasi 15 cerpen tulisan Faisal Tehrani masih lagi mengekalkan identiti penulis yang gemar menggarap idea-idea Islam dengan segala firman Allah dari Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Ada sedikit ulasan simple dan sinopsis ciptaan sendiri mengenai 15 cerpen yang terkandung dalam TKS.

Rindu Ini Luar Biasa : cerita mengenai sang kekasih yang mengimbau kembali saat manis bersama sang cinta yang telah meninggal dunia. latar belakangnya dipenuhi dengan situasi gerakan mahasiswa UM yang merupakan ahli Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM),antara momen penting yang menyatukan Zaharah dan Hakiman. cerita ini mengingatkan aku mengenai apa yang diceritakan oleh Fahmi Redza.

Abuya Dongeng Tokoh Yang Memakan Babi : mengenai seorang pemimpin tua yang tidak mahu meninggalkan kerusi pemerintahannya. seorang pemimpin tua yang memikirkan yang tua adalah lebih baik dari yang muda. cerita mengenai tokoh muda yang dicucuk api untuk merampas takhta pemerintahan tetapi berjaya menangkis asakan itu. bagi aku, ini cerpen menyindir.

Antiplot : filem Fitna menjadi topik asas cerpen kali ini. filem yang dibuat oleh orang bukan Islam mengenai Islam yang mendapat tentangan hebat dari umat Islam sendiri. bertabirkan suasana di Dhaka, cerpen ini mengulas sedikit apa yang menyebabkan lahirnya filem Fitna, dan tentangannya.

Bulan Penuh di Saigon : kisah seorang anak angkat yang berasal dari negara Saigon dan menjadi anak angkat kepada seorang ibu berbangsa Patani. menggambarkan kedukaan seorang anak yang tidak boleh dimanjai oleh ibunya menggunakan zikir Allah dan keinginan seorang anak mencari asal usul sebenarnya walaupun bukanlah seagama. namun, demi hubungan darah daging yang kuat, kelainan agama diketepikan.

Cinta Medeni : berkisar seorang jejaka bernama Medeni yang bersama sang pujaan hati, Zanjabila yang bersama-sama dalam mengkaji seorang tokoh Islam. menariknya di sini, persoalan mengenai kajian yang dibuat digunakan Zanjabila sebagai cara nakal sebelum menerima lamaran Medeni. asyik!

Dangau, Pau dan Maruku : hari kemerdekaan malaysia yang pertama menjadi tonggak cerpen ini. kisah tiga wanita dari tiga bangsa utama yang bersusah-payah menyiapkan kuih tradisi masing-masing untuk diberi kepada pemimpin yang paling disayangi. kata Faisal, dangau+pau+maruku=kuih perikatan!

Hajah Abidah : cerpen yang membawa tema, jodoh itu tidak ke mana, walau terpisah lama tetapi bersama jua dengan jodoh yang tertulis di loh mahfuz. jodoh antara orang yang kuat agama dan artis terkenal malaya. jodoh yang orang kata jauh panggang dari api seperti langit dan bumi tetapi atas ketentuan Allah, jodoh itu yang bersatu.


Latar : Iran yang menjadi latar cerpen, Faisal membawa tema kekerasan dan antikekerasan. aku anggap cerpen yang satu ni lebih kepada politik.

Manifesto Mergastua : aku suka cerpen ini! cerpen mengenai suara hati makhluk Allah yang lain, iaitu haiwan. cerita mengenai rasa tidak puas hati terhadap tingkah laku manusia terhadap binatang. luahan hati haiwan mengenai hak-hak yang mereka ada di atas muka bumi ini.

Muhammad Ulul Albab : seorang arkitek bukan Islam yang akhirnya menganut agama Islam dalam usaha dia mencari seni bina baru untuk projek seterusnya. dia yang berjumpa dengan bayangan "Pelangi" ketika melihat sebuah catan rumah Melayu Melaka di Malaysia, diterangkan dengan nilai simbolik agama Islam yang dizahirkan melalui catan itu antara titik tolak utama penghijrahan agamanya.

Muthupalaniappan : Faisal membawa pembaca untuk melihat kembali dasar pendidikan Malaysia yang pernah mencetus kontroversi dengan menggambarkan seorang pelajar India yang tidak memahami ajaran Matematik dalam bahasa Inggeris dan seorang gurgu malar hijau yang gigih merealisasikan dasar yang ada. namun, kesabaran jiwa muda tidak begitu tinggi apabila dia sukar untuk menghadapi pelajar-pelajarnya yang menolak untuk diajar dalam bahasa orang putih dan menghadapi peleraian yang melankolik.

Perlak Emak : kisah seorang anak yang mengingati pesan ibu untuk mengekalkan tanah warisan dan tanah tradisi untuk anak-anak masa depan. cerpen yang dipenuhi dengan pepohon herba orang Melayu, landskap tradisi orang Melayu dan indahnya kegunaan alam terhadap kehidupan seorang Melayu.

Tiga Kali Seminggu : berkisarkan seorang janda cantik yang menghadiri kuliah agama seorang ustaz kacak. sebagai seorang manusia biasa, ustaz kacak itu sedikit sebanyak tergoda dengan liuk lintuk janda cantik termasuklah soalan pelik-pelik kisah rumah tangga dari si janda cantik.

Setelah Diciptakan Adam : berkenaan seorang wanita Yahudi dan wanita Islam yang tinggal sebilik, mempunyai ideologi berbeza mengenai kedudukan wanita dan lelaki, berpisah akibat perbezaan ideologi dan bertemu semula atas sifat kasih sayang.

Kegawatan : kisah satu tamadun manusia yang boleh musnah begitu sahaja akibat bencana alam kerana Tuhan yang diketepikan. nasihat aku untuk baca cerpen ini,sila fokus! kerana cerpen ini yang paling panjang dan mempunyai dua watak utama tetapi diceritakan dengan jelas pada awal penceritaan.

Keseluruhannya, Faisal pandai menyusun atur cerpen, apabila cerpen-cerpen terawalnya membuatkan pembaca bagaikan membaca buku ilmu yang berbeza kerana sarat dengan falsafah Islam. Boleh juga dianggap cerpen-cerpen awal sedikit berat tetapi pembaca ditenangkan dengan cerpen yang sedikit ringan pengisiannya.Kompilasi 15 cerpen ini aku andaikan meliputi keseluruhan cerita dunia, politik, akidah umat Islam dan sebagainya. Sayangnya, cerpen terakhir ini buat aku menguap beberapa kali kerana plotnya yang mendatar. Faisal seperti biasa, tidak begitu terperinci mengenai wataknya tetapi lebih menumpukan kepada isi utama yang ingin disampainya. senang kata, tulisan Faisal tidak pernah meleret.

No comments:

 
SUDUT MATA SAYA - Free Blogger Templates, Free Wordpress Themes - by Templates para novo blogger HD TV Watch Shows Online. Unblock through myspace proxy unblock, Songs by Christian Guitar Chords